MAQASID al-syariah bermakna matlamat tinggi syariah. Ia meliputi keseluruhan kehidupan dan tidak terhad kepada hukuman jenayah semata-mata.
Hari ini, apa yang diperlukan ialah membangun kerangka bagaimana kita dapat bekerjasama dengan harmoni membina Malaysia yang lebih baik. Kerangka yang telah dipilih ialah demokrasi, yang integral dalam Islam. Kita mesti menjayakannya.
Inilah tanggapan saya menyertai “Seminar Kebangsaan Maqasid al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” anjuran Institut Darul Ehsan (IDE), pada 28 Mei lalu. Ia dirasmikan Naib Canselor Universiti Selangor Prof Datuk Dr Muhamad Redzuan Othman.
Perbincangannya dimulakan dengan ucaptama Prof Dr ‘Abdul Rahman al-Kailani, antara tokoh maqasid al-syariah kontemporari. Beliau membentangkan lima elemen utama maqasid al-syariah: perubahan, tamadun, prioriti, shura dan rahmat buat semua.
Penggulungannya dilakukan Pengerusi IDE Datuk Dr Siddiq Fadzil. Dengan pendekatannya – manhaj malazi (pendekatan Malaysia), beliau mengutarakan, antaranya, kepentingan, nilai, kepentingan awam, kebebasan dan keadilan dalam maqasid al-syariah, yang saya rujuki untuk sebahagian besar rencana ini.
Maqasid al-syariah amat penting bagi menangani pelbagai isu dengan menyediakan jawapan yang sesuai dengan Realiti Baru. Perlu ijtihad dan cara berfikir baru. Sambil berpegang pada akar tradisi, ia perlu melakukan anjakan paradigma daripada teori kepada aplikasi dalam seluruh spektrum kehidupan.
Maqasid al-syariah terumus dalam memelihara “lima kepentingan” kehidupan: agama, nyawa/jiwa, akal, keturunan dan harta. Hakikatnya, ia adalah nilai-nilai universal yang diakui semua agama dan kebudayaan. Nilai-nilai yang dikongsi ini dapat menjadi katalis kerjasama kemanusiaan yang inklusif dan sejagat.
Premis maqasid al-syariah adalah kepentingan rakyat. Politik Islam mestilah berorientasi-rakyat. Ia tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Kerana Islam rahmat untuk semua (Muslim dan bukan-Muslim).
Pimpinan Islam mesti berbakti buat semua dan tidak diskriminatif. Islam mementingkan hidup-bersama, persefahaman dan kerjasama. Piagam Madinah adalah contoh terbaik bagaimana politik Islam dipraktikkan atas landasan persamaan hak dan tanggungjawab semua rakyat (Muslim dan bukan Muslim).
Kepentingan rakyat perlu dikenal pasti dengan kaedah tertentu. Tidak boleh secara unilateral oleh sesiapapun. Ia mesti berdasarkan kebebasan, termasuk kebebasan bersuara dan membuat keputusan. Kerana Islam meraikan kebebasan, termasuk dalam hal beragama.
Justeru, undang-undang dan dasar-dasar mesti ditentukan oleh rakyat secara demokratik. Pentadbiran autokratik, kronisme, nepotisme, rasisme, dan kepentingan politik atau individu adalah bertentangan dengan kepentingan rakyat. Pimpinan Islam seharusnya menjuarai perjuangan kebebasan, perubahan, pendemokrasian dan reformasi.
Keadilan adalah premium. Ia mesti ditegakkan semua. Bagi mereka yang diamanahkan kuasa, maka, tanggungjawabnya adalah lebih. Dan ia mesti ditegakkan setiap masa.
Bagi syariah secara khusus, menurut Jasser Auda, maqasid al-syariah menyediakan jawapan-jawapan bagi persoalan-persoalan seperti mengapakah zakat termasuk dalam Rukun Islam? Apakah manfaat puasa Ramadan? Apakah hubungan hak asasi manusia dengan syariah? Bagaimana syariah membantu pembangunan dan tamadun?
Matlamat syariah adalah keadilan. Ia tidak terhad hanya kepada teks/akta semata-mata. Ia meliputi keseluruhan pelaksanaannya: draf, pentadbiran, siasatan, pengadilan, keputusan, hukuman dan bagaimana hukuman dijalankan. Ia mengambil kira persediaan dan kepentingan rakyat, prioriti dan tahap-tahap pelaksanaan.
Bagi Auda, pendekatan maqasid membawa isu-isu perundangan ke peringkat falsafah yang lebih tinggi, lalu mengatasi perbezaan-perbezaan politik dan mazhab-mazhab, dan menggalakkan rekonsilisasi dan wujud-bersama yang harmoni, dan (saya tambah): melihat undang-undang sivil dan syariah Malaysia dengan cara yang lebih baik.
“Syariah adalah berdasarkan kebijaksanaan dan pencapaian kebajikan manusia di dunia dan akhirat. Syariah adalah tentang keadilan, rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan. Justeru, apa-apa yang menggantikan keadilan dengan ketidakadilan, rahmat dengan sebaliknya, kebaikan dengan kejahatan, atau kebijaksanaan dengan kebodohan, ia bukannya syariah, walaupun didakwa demikian oleh sesetengah tafsiran” – ibn al-Qayyim.